mencari sesuatu di.......

Rabu, 13 Julai 2011

BAHASA ROJAK (2)

Bahasa Tinggi dan Rendah

Bagi membolehkan kita membuat analisis ringkas terhadapa bahasa Melayu yang digunakan maka kita lihat dahulu ciri-ciri bahasa. Apakah ciri-ciri bahasa Melayu tinggi dan apakah ciri-ciri bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu tinggi ialah bahasa yang mempunyai ciri-ciri tatabahasa yang lengkap. Ini bermaksud:
a. ayat-ayat yang digunakan adalah lengkap dari segi tatabahasa, ada subjek dan predikat, penerangnya pada tempat yang menunjukkan hubungan sintaktik yang betul.
b. Menggunakan imbuhan dengan lengkap. Imbuhan kata kerja transitif per-, -kan dan –i selenkapnya. Imbuhan yang menunjukkan bangun ayat, iaitu me-, di-, ter- dan ber- selengkapnya. Imbuhan kata nama bagi menunjukkan makna yang berbeza selengkapnya, iaitu pen- (alat dan agen), pen- … –an (proses), per- … –an (hasil dan tempat), ke- … –an (abtrak), -an (hasil), dll.
c. Menggunakan kosa kata yang terdiri daripada kata-kata konsep tinggi, kata yang lebih canggih bentuk dan maknanya.
d. Ganti nama yang lebih sopan dan menghormati orang lain seperti beliau, mereka, saya, dll. (dan bukan Ai, Yu, dia orang, lu, dll.)
e. Tanda baca yang lengkap
f. Mengungkapkan konsep, ilmu dan budaya tinggi
g. Bahasa orang terpelajar.
Bahasa Melayu tinggi adalah bertentangan dengan bahasa Melayu Rendah. Yang utama ialah, konteks penggunaan bahasa Melayu tinggi adalah berbeza daripada bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu baku adalah bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu kacukan adalah bahasa Melayu rendah. Bahasa Melayu tinggi digunakan dalam konteks mengungkapkan budaya ilmu dan budaya tinggi. Ini adalah bertentangan daripada konteks bahasa Melayu rendah yang digunakan bagi konteks berjual beli dan interaksi sosial rendah yang terhad.
Konteks fizikal sangat menentukan taraf bahasa yang digunakan. Umpamanya, di dalam mahkamah, kita akan dengan sendirinya terpaksa menggunakan bahasa Melayu tinggi. Bahasa Melayu rendah seperti bahasa pasar tidak akn digunakan. Dalam mesyuarat, kita dengan sendiri memilih-milih perkataan dan ayat yang sesuai bagi mengungkapkan sesuatu idea, dan tidak mengeluarkan kata-kata sembarangan.

Kesan yang paling penting akibat menggunakan bahasa Melayu rendah ini ialah kita akan kelihatan tidak serius. Orang yang tidak menyusun perkara yang mahu diungkapkan dengan matang. Orang bercakap dengan tidak berfikir secara mendalam.
Oleh yang demikian, kita dapat membuat beberapa andaian yang berasas bagi menganalisis konsep diri penutur asli bahasa Melayu yang menggunakan bahasa Melayu rendah atau bahasa kacukan ini.
a. Penguasaan bahasa Melayu baku yang tidak lengkap ”sekerat belut sekerat ular,”
b. Menganggap diri mereka sudah mahir menggunakan bahasa demikian
c. Menganggap orang lain juga seperti mereka (down-levelling), merendahkan taraf orang
d. Tidak memperdulikan kesan kepada pendengar
e. Penguasaan ilmu yang meragukan …
f. Main-main dan tidak serius.
g. Tidak terpelajar.

ada lagi sambungannya..........

Tiada ulasan:

Catat Ulasan